Monday, August 13, 2007

Hubungan Lelaki dan Perempuan (1)

Terlebih dahulu, ucapan maaf didahulukan andai tulisan ini mengguris hati sesiapa, menimbulkan sebarang rasa yang enak atau kurang enak di dalam jiwa, atau mungkin tulisan ini dianggap kolot, kuno, ‘pudor’ atau sebagainya. Maaf, beribu maaf didahulukan. Ini cuma satu pandangan dari jiwa sendiri yang lemah dan dari ilmu yang sedikit dalam diri. Sesungguhnya tulisan ini benar-benar dan sungguh-sungguh ingatan yang terutama untuk diri sendiri…

Ikhtilat (Percampuran) Lelaki dan Perempuan Menurut Islam

Keberanian dan kepeloporan adalah pelengkap akhlak dan sifat utama seorang pemuda, sedangkan adab dan sifat malu adalah kecantikan seorang pemudi yang paling utama. (Mustafa Luthfi al-Mantfaluthi)

Ketika di matrikulasi, sedikit sebanyak saya belajar dan faham mengenai hubungan lelaki dan perempuan menurut Islam. Masing-masing dalam diri, mengakui fitrah yang ada. Fitrah untuk memiliki teman hidup. Sementelah pula, kita semua akan menghabiskan pengajian sedikit masa lagi. Saya tidak maksudkan matlamat utama selepas pengajian adalah mendirikan rumahtangga. Apa yang saya maksudkan ialah setiap dari kita pasti terfikir atau merancang untuk membina rumahtangga walaupun ia bukan perkara utama. Dan apa yang akan saya luahkan di sini bukanlah cara-cara untuk membina rumahtangga, cuma sekadar berpesan agar fitrah yang ada tidak disalurkan tersalah cara. Sekali lagi, tulisan ini benar-benar dan sungguh-sungguh ingatan yang terutama untuk diri sendiri…

Saya yakin bagi kawan-kawan yang sedang menjalin hubungan atau pernah menjalin hubungan dengan berlawanan jantina secara serius, pasti menginginkan hubungan itu berakhir dengan perkahwinan. Tapi, pernahkah kita terfikir, adakah hubungan yang kita bina itu benar di sisi Islam, atau adakah ia redha di sisi Allah?

Salah satu perkara yang paling asas dalam sistem sosial Islam adalah hubungan di antara lelaki dan perempuan. Hubungan yang sahih dan sihat antara lelaki dan perempuan dapat membawa kebahagiaan kepada masyarakat, manakala hubungan bebas antara lelaki dan perempuan di luar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam akan membawa kehancuran kepada masyarakat (Abu 'Urwah, 1992). Oleh kerana itulah Islam sangat menitikberatkan pembinaan baitul muslim atau institusi keluarga yang luhur dan bersih yang mana hati-hati setiap ahli keluarga itu disentuh dengan Islam, disentuh dengan redha Allah sebagai matlamat utama. Dan usaha untuk membina keluarga yang luhur dan bersih ini perlu dimulakan sebelum perkahwinan itu sendiri. Institusi keluarga dalam Islam sangat penting kerana ahli daripada institusi keluarga itulah yang akan keluar kepada masyarakat dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah masyarakat itu dan menentukan tertegaknya agama Allah di muka bumi ini.

Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amalan kebajikan, amal soleh dan ibadah kepada Allah (Abu 'Urwah, 1992). Jika perkahwinan itu adalah ibadah dan amal soleh yang akan dipersembahkan kepada Allah, maka muqaddimahnya juga perlu penuh keberkatan dan pengharapan untuk mendapat redha Allah. Persoalannya sekarang, adakah berpacaran, keluar berdua-duaan, ber’sms’ secara rakus dan tidak penting, bergayut di telefon berjam-jam, ber’email’ tanpa tujuan adalah muqaddimah kepada perkahwinan yang penuh keberkatan?

Kebaikan itu ialah elok budi pekerti. Dan dosa itu adalah apa yang bergetar dalam diri engkau dan engkau benci bahawa di lihat oleh manusia kepadanya. (Riwayat Muslim)

Jika kita benar-benar inginkan kebahagiaan yang berkekalan daripada sebuah perkahwinan, maka ingatlah bahagia dan tenteramnya sesebuah perkahwinan itu datangnya dari Allah. Apakah kita meletakkan harapan bahawa Allah akan membantu kita kekal bahagia jika awal-awal lagi kita sudah membelakangkan Allah?

Sekali lagi dinyatakan, tulisan ini benar-benar dan sungguh-sungguh ingatan yang terutama untuk diri sendiri…bukanlah niat mahu menyatakan diri ini baik atau tidak pernah berbuat salah. Sungguh pesanan ini moga membuahkan rasa kasih dan sayang sesama kalian. Jika kalian tidak menyayangi diri ini sekalipun, maka diri ini tidak kisah andai rasa sayang yang ada cuma bersifat satu hala. Bagi diri ini, biarlah al-suqut ‘alaamatu al-ridho (diam itu tanda setuju) dipraktikkan pada tempat yang sepatutnya sahaja. Sama-samalah kita berpesan-pesan pada kebenaran. Wallahua’lam.

Bersambung…


3 comments:

izra said...

Terima kasih,Nurul.This is really a breath of fresh air.Sebenarnya,most of us tau tentang benda ni tapi most of the time, most of us terleka,lalai dan lupa.Semoga lps ni,kita sentiasa beringat-ingat,terutamanya diri saya sendiri.By the way,a matter like this can never be 'pudor'..(^_^)

Ann said...

as expected from nurul.sentiasa menyedarkan saya yg selalu alpha dengan cinta manusia.
saya percaya perhubungan lelaki perempuan amat perlu berlandaskan cinta kepada allah. bukan saya perkenalkan konsep 'cinta halal' di sini.
cinta dalam hati disuburkan dengan rasa sakinah dan mahabbah dengan cinta tuhan.

soyuzs89 said...

thanks to u nurul..sy bersetuju dengan luahan anda...bukankah bercinta n bercouple selepas kahwin adlah lebih baik dan suci..kerana cinta kita yg prtama dan terakhir hanya untuk suami kita yg tersayang...hubungan itu adalah lebih halal di sisi Allah:-)